cerita gadis berniqab





“Jomlah balik Alice. Dah lewat ni, ingatkan nak beli buku, tapi tak ada buku yang menarik.”

“Ira, cuba Ira tengok budak perempuan yang dekat stesen bas tu. Ira cam tak dia. Macam kawan kita sahaja,” kata Alice.

“Ooo yang baju putih pakai seluar jeans tu. Tu Hanisah kan. Kawan kita waktu tingkatan lima dulu. Jom pergi kat dia. Dah lama tak jumpa dia,” jawab Humaira.

“Jom,” jawab Alice pendek.

Mereka berdua menuju ke arah sekumpulan gadis perempuan serta lelaki. Pakaian mereka seperti Alice, t-shirt ketat serta berseluar jeans. Yang lelaki pula, tidak lekang dengan rokok di bibir. Salah seorang daripada gadis-gadis tersebut adalah Hanisah, teman sepersekolahan mereka. Tibanya di kumpulan pelajar tersebut, Humaira terus ke arah gadis yang berambut panjang, memakai t-shirt putih dan jeans yang ketat hingga menampakkan bentuk susuk tubunya. Humaira membuka bicara:

“Assalamualaikum,” Humaira memberi salam.

Kumpulan pemuda dan pemudi itu terkejut. Mereka memandang Humaira dari atas ke bawah. Mungkin tertanya-tanya siapakah gadis berniqab ini? Mahu berceramah kepada mereka kah? Hanisah juga masih terpinga-pinga lebih-lebih lagi apabila melihat Humaira datang menghampiri dia. Memang dia tidak mengenali bahawa itu adalah Humaira. Masakan dia mampu mengenali itulah Humaira sedangkan wajah Humaira tersembunyi di sebalik kain niqab tersebut. Alice menyedari apa yang sedang terjadi. Dia segera membuka bicara:

“Hanisah, ni aku lah. Alice. Tak ingat ke?” terang Alice.

“Ohh Alice. Kau buat apa kat sini. Lama tak jumpa kau,” jawab Hanisah. Dia kelihatan riang bertemu rakan sepersekolahannya. Dia terus memeluk Alice. Alice terus mendakap sahabat lamanya itu. Sambil berdakapan, Hanisah membisik ke telinga Alice.

“Siapa budak perempuan yang datang dengan kau ni Alice?” soal Hanisah.

“Lah, lupa pula aku. Ni Humaira lah, kawan kita,” jawab Alice.

“Ohh Ira. Maaf Ira, aku betul-betul tak cam kau Ira,” dia terus bersalaman dengan Humaira. Kelihatan seolah-olah ada tembok besar antara mereka. Hanisah kelihatan segan-segan untuk berdakapan dengan Humaira, tidak semesra seperti dengan Alice tadi. Humaira terus mendakap sahabat baiknya.

“Kau dah lain Ira, aku betul-betul tak kenal tadi. Aku ingat siapalah yang datang nak ceramah kat aku ni,” kata Hanisah.

Humaira tersentak dengan kata-kata Hanisah. Dia hanya tersenyum kelat. Tapi senyuman itu tersembunyi di sebalik kain niqabnya.

“Kau apa khabar Hanisah? Lama tak jumpa kau. Kau study kat mana sekarang?” soal Humaira.

“Hmm, aku tak sambung study, aku kerja sekarang. Alah kerja dekat 7 Eleven sahaja,” jawab Hanisah.

“Ooo,” kata Humaira ringkas.

“Hah, Ira, Alice, kenalkanlah, ni kawan-kawan aku,” Hanisah memperkenalkan kawan-kawannya. Yang perempuan terus bersalaman dengan Alice dan Humaira sambil menyebut nama masing-masing. Mereka kelihatan kekok ketika mahu bercakap dengan Humaira. Salah seorang daripada pemuda di dalam kumpulan tersebut turut menghulurkan tangan kepada Alice dan Humaira. Alice tersentak, kerana terkejut dia terus menghulurkan tangan menyambut salamnya. Tetapi Humaira mendiamkan diri. Dia meletakkan tangan di dadanya sebagai isyarat enggan bersalaman dengan lelaki tersebut. Dia berkata dengan perlahan, tapi cukup untuk didengari pemuda itu:

“Saya bukan mahram kamu,” kata Humaira perlahan.

Entah kenapa, pemuda tersebut tersebut kelihatan kurang berpuas hati. Dia berkata kepada rakan lelaki di sebelahnya:

“Sombong pula minah ni, ingat aku nak sangat kat dia, pakai macam hantu bungkus, siapa nak,” kata lelaki tersebut kepada rakan di sebelahnya. Rakannya hanya ketawa kecil. Hanisah tidak mendengar kata-kata lelaki itu. Tetapi ia didengari oleh Humaira dan Alice. Humaira terdiam. Dia hanya mengurut dadanya. Dia beristighfar perlahan.

“Astaghfirullah,” bisik Humaira perlahan kepada dirinya.

Alice terkejut dengan kata-kata lelaki tersebut. Dia tidak sanggup mendengar kata-kata yang menghina sahabatnya Humaira. Entah dari mana datang keberaniannya, secara spontan, terus terkeluar dari mulutnya:

“Kurang ajar! Kau ni Islam ke apa kata macam ni kat kawan aku,” kata Alice tegas.

Humaira terkejut, Hanisah terpinga-pinga kerana tidak mengetahui pokok pangkal cerita. Humaira cuba menarik Alice, menenangkan Alice yang kelihatan teramat marah. Alice kelihatan masih belum berpuas hati. Pemuda tersebut merasa tercabar dengan kata-kata Alice, dia bersuara:

“Oi Amoi kafir, kau siapa nak cakap macam tu dengan aku. Kau tu kafir, kafir. Ahli neraka.”

Hanisah terkejut dengan kata-kata kawan lelakinya itu. Dia masuk campur. Hanisah cuba meleraikan keadaan yang semakin tegang. Orang ramai di stesen bas Tampin sedang memerhatikan apa yang sedang berlaku. Mereka tidak tahu pokok pangkal cerita. Mereka hanya mendengar Alice mengucapkan perkataan kurang ajar kepada pemuda tersebut, dan pemuda tersebut membalas dengan perkataan kafir berulang kali. Hanisah menyuruh kawan-kawan lelakinya yang lain membawa pemuda tersebut beredar dari situ. Dia bertanya kepada seorang kawan perempuannya.

“Apa yang jadi sampai mereka gaduh ni? Aku tak tahu apa-apa ni,” soal Hanisah kepada Anisza.

“Bob tu, dia kutuk kawan kau yang pakai purdah tu. Kawan cina kau ni dengar, tu yang gaduh tu,” jawab Anisza.

“Hmmm,” Hanisah seperti mengeluh. Pertemuan mereka setelah sekian lama diganggu peristiwa tadi. Humaira masih cuba menenangkan Alice yang teramat marah. Hanisah membuka bicara:

“Ira, aku minta maaf pasal kawan-kawan aku tadi. Mereka memang macam tu, maaf okey,” Hanisah berkata perlahan kepada Humaira dan Alice.

“Hmm tak apa. Bukan salah kau,” jawab Humaira pendek.

“Alice, Ira, kau dah makan. Jom makan tengahari, aku belanja. Aku dengan kawan-kawan aku ni nak pergi makan lepas ni,” Hanisah memberi cadangan.

“Eh tak apalah, aku dengan Alice nak balik rumah ni. Emak aku dah masak dah. Nanti membazir pula lauk tu,” jawab Humaira sambil Alice di sebelahnya mengangguk. Alice bersuara:

“Hah esok, jam dua belas tengahari, kalau kau tak kerja, datanglah rumah Ira. Kita buat reunion, kawan-kawan kita yang lain pun ada,” kata Alice.

“Ooo ada reunion, best tu. Okey aku mesti datang punya. Eh okeylah, aku nak kena pergi makan ni, lepas ni aku dah nak masuk kerja,” kata Hanisah.

“Okey,” jawab Alice dan Humaira serentak. Mereka bersalaman dengan Hanisah dan kawan-kawan perempuannya.

“Jom Ira, kita balik,” kata Alice.

“Okey,” jawab Humaira perlahan.

Alice dapat merasakan bahawa Humaira masih terkejut dengan peristiwa tadi. Dia pun seakan tidak percaya bagaimana dia boleh berani berkata sedemikian kepada pemuda tadi. Dia memeluk bahu Humaira, sambil menggosok-gosok belakang sahabatnya. Dia berbisik ke telinga Humaira:

“Sabar ya Ira. Bukankah sabar itu cantik.”

Humaira tersenyum mendengar kata-kata Alice. Mereka berdua berjalan pulang. Humaira dan Alice tidak banyak berbual, tidak seperti ketika dalam perjalanan ke Tampin tadi. Mungkin mereka masih terkejut dengan apa yang berlaku tadi. Tidak sampai lima belas minit, mereka sudah sampai di halaman rumah Humaira. Kelihatan makcik Limah sedang mengangkat kain baju dari ampaian pakaian.

“Assalamualaikum ibu. Ira dah balik ni,” Humaira memberi salam.

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Ibu kat bawah ni, tengah pindah baju-baju ke bawah rumah. Nanti hujan, basah pula baju-baju kat ampaian tu,” jawab makcik Limah.

“Alice, Alice naiklah dulu. Ira nak tolong ibu angkat baju ni,” kata Humaira kepada Alice.

“Okey,” jawab Alice pendek.

“Tak payahlah Ira, dah nak sudah dah pun. Pergi naik atas tu sediakan makanan tengahari,” kata makcik Limah kepada anak kesayangannya.

“Owh, okey, lepas ni kita makan sama-sama ya bu,” kata Humaira sambil dia terus bergerak naik ke atas rumah. Dia masuk ke dalam bilik. Dia melihat Alice sedang membelek-belek handbill yang diterima daripada pemuda yang mereka temui di kedai kek tadi.

“Aih, khusyuk nampak, baca apa tu?” soal Humaira.

“Ni tengah tengok iklan yang budak lelaki tadi bagi. Budak janggut panjang tu,” jawab Alice.

“Ohh minta sini, Ira nak baca,” kata Humaira sambil Alice menghulurkan handbill tersebut kepada Humaira. Tertulis di atas handbill tersebut:

Majlis ilmu bersama Ustaz Abu Ubaidah. Tajuk: Berbahagialah Orang Yang Asing…

Humaira tertarik dengan tajuk tersebut.

“Hmm best tajuknya. Kena pergi ni esok,” kata Humaira. Alice menyampuk.

“Kalau Alice ikut esok boleh tak. Takkan Ira nak Alice duduk seorang diri kat rumah ni,” kata Alice.

“Ooo Alice takut ya duduk seorang-seorang di rumah ni. Haih amoi ni, dah besar panjang pun takut lagi kah,” kata Humaira sambil ketawa.

“Tak lah, Alice nak hadir sahaja. Mana tahu ada benda best boleh dapat. Tak pun Alice boleh tanya soalan ke nanti esok,” jawab Alice.

“Hmm, kalau ikut Ira, boleh sahaja, tapi kena tanya ibu dulu lah. Takut-takut pihak masjid tak bagi non-Muslim masuk,” jawab Humaira. Alice kelihatan mengharap sangat untuk menghadiri majlis tersebut.

“Alice, jom pergi dapur, kita sediakan makan tengahari,” Humaira mengajak Alice.

Mereka berdua terus menuju ke dapur. Kelihatan makcik Limah baru selesai dengan kerja-kerjanya tadi. Mereka berbual-bual sambil menyediakan hidangan makan tengahari di meja makan. Humaira bertanya kepada ibunya:

“Ibu, ibu tahu tak esok ada kuliah dekat masjid?”

“Ooo haah. Ibu lupa nak bagitahu Ira. Esok kuliahnya. Mana Ira tahu?” soal makcil Limah kepada anak gadis suntinya itu.

“Tadi Ira jumpa dekat kedai kek ada seorang budak lelaki. Semalam ada nampak dia dekat tempat sembelih korban. Dia lah yang beritahu,” jawab Humaira.

“Ooo,”jawab makcik Limah.

“Siapa penceramahnya bu? Ira tengok dekat iklan nama dia Abu Ubaidah. Tak pernah dengar pun nama tu,” kata Humaira.

“Entah ibu pun tak tahu. Orang kata anak bongsu Lebai Hasan, dia baru balik dari Indonesia, mengaji di sana. Ira ingatkan Lebai Hasan? Jangan kata tak kenal pula, dulu waktu kecil Ira mengaji dengan Ustazah Hamidah, isteri Lebai Hasan,” terang makcik Limah.

“Ooo, rumah yang sembelih kambing semalam tu rumah Lebai Hasanlah kan bu?” soal Humaira lagi.

“Haah betullah tu,” jawab makcik Limah pendek.

“Hah bu, esok Alice nak ikut sekali pergi dengar kuliah kat masjid boleh tak?” soal Humaira.

“Hmm ibu tak pastilah, tapi kalau yang ibu ingat, waktu Ustaz Ghazali ajar feqh dulu, dia kata boleh sahaja bukan Islam masuk masjid. Tapi tak tahulah, kena tanya pihak masjid dahulu. Tak apa lah nanti ibu tanyakan kat orang masjid,” jawab makcik Limah.

Alice hanya melihat Humaira dan ibunya berbual. Perutnya sudah mulai lapar, lauk pauk serta nasih sudah tersedia di atas meja makan.

“Ira, makcik, jomlah makan, perut Alice dah berbunyi ni,” kata Alice sambil menepuk-nepuk perutnya.



“Haah Ira, kasihan Alice, lapar sangat tu,” jawab makcik Limah.

“Haah kasihan dia, lepas ni berjoget pula lah agaknya perut dia tu. Heheh,” Humara bergurau. Makcik Limah dan Alice ketawa mendengar gurauan Humaira.

from heart to heart

2 comments:

  1. best la citer ni fariha..:) (kak hajar mohamood)

    ReplyDelete