cerita gadis berniqab



“Eh, dah nak dekat pukul 10 pagi ni. Dah lah, nanti-nantilah Ira sambung cerita Ira ni.”

“Alah, tengah best ni. Kisah Ira ni boleh dibuat novel,” jawab Alice.

“Novel, siapa nak tulis? Alice? Wah, dahsyat, seorang amoi sepet nak tulis kisah hidup gadis Melayu yang berpakaian seperti ninja,” jawab Humaira sambil ketawa.

“Ish Ira ni. Dah lah jom siap, kata nak pergi pekan Tampin.”

“Jom,” jawab Humaira ringkas.



Humaira bingkas bangun menuju ke biliknya sambil menarik tangan Alice yang masih kemalas-malasan. Tiba-tiba Alice bersuara:

“Ira, Alice nak pakai baju apa ye?”

“Pakailah baju apa yang Alice ada, takkan nak Ira yang pilihkan pula.”

“Tak adalah, Alice suka pakai t-shirt dengan jeans. Ketat pula tu. Ira tak segan ke jalan dengan Alice nanti. Apa orang kata pula nanti,” jawab Alice.

“Alah Alice ni, pakai sahajalah apa-apa, Ira tak kisah. Jangan Alice tak berbaju sudahlah. Ke Alice nak jadi ninja macam Ira. Heheh,” Humairah menjawab sambil bergurau.

“Isy Ira ni. Macam tu Alice pakai t-shirt dengan jeans sahajalah. Takkan nak pakai cheong sam kan. Macam tak sesuai sahaja.”

“Suka hatilah, kalau Alice pakai cheong sam pun apa salahnya. Mesti apek-apek kat Tampin nanti melopong, tengok amoi mana lah pula ni.”

“Ah Ira ni, tak habis-habis nak usik Alice.”

“Haha, janganlah marah. Orang marah muka dia cepat tua. Cepatlah siap.”

Humaira memakai baju kurung berwarna ungu dengan corak-corak bunga. Ia adalah baju yang dijahit oleh ibunya sendiri, makcik Limah. Humairah membetulkan tudung dan niqab yang menutupi wajahnya. Perasaan risau muncul jua di hatinya. Ini lah kali pertama dia akan ke pekan dengan menutup wajahnya.

“Ok Alice, Ira dah siap ni. Jom gerak,” Humaira memanggil Alice yang masih di dalam bilik.

“Okey, Alice dah siap ni,” Alice keluar dari bilik. Dia memakai t-shirt dengan seluar jeans.

Mereka berjalan menuju ke pekan Tampin. Sambil berjalan mereka berbual-bual. Humaira meluahkan rasa risaunya kepada Alice.

“Alice, Ira risaulah,” Humaira meluahkan perasaannya.

“Apa yang Ira risau?” soal Alice.

“Ini pertama kali Ira keluar ke pekan dengan pakai niqab. Entah apa orang kata nanti,” jawab Humaira.

“Hmm, kenapa orang nak kata macam-macam. Kalau Alice boleh terima Ira pakai macam ni, takkanlah orang Melayu lain tak boleh,” jawab Alice memberikan semangat kepada Humaira.

“Hmm, Alice tak faham. Tak apalah, kita tengoklah sahaja nanti.”

Sampai di sebatang sungai yang terletak berhampiran dengan landasan kereta api, Humaira berhenti berjalan. Alice terpinga-pinga.

“Kenapa berhenti di sini Ira. Kita nak tahan teksi ke?” soal Alice.

Humaira tidak menjawab soalan Alice. Dia mengeluarkan sesuatu daripada beg kecilnya. Dia melontarkan barang tersebut ke sungai. Dia melihat barang yang dilontar tadi tenggelam di dalam air sungai. Terus terpacul dari lidahnya “Alhamdulillah”. Alice masih tidak faham. Dia terus bertanya.

“Apa yang Ira buang tu? Ira macam bersyukur sahaja lepas buang barang tu sebab Alice dengar Ira sebut Alhamdulillah.”

“Alice ingatkan cerita pagi tadi, Bukhari ada hadiahkan Ira key chain. Itulah barang yang Ira buang,” jawab Humaira.

“Oooo,” jawab Alice ringkas.

Mereka terus berjalan hingga sampai ke pekan Tampin. Humaira dan Alice pergi ke sebuah pasaraya yang ada di situ untuk membeli barang-barang makanan. Humaira merancang untuk membuat reunion dengan rakan-rakan sepersekolahan mereka di rumah nanti. Jadi perlulah dibeli sedikit barang-barang makanan, minuman ringan dan lain-lain.

“Ish banyaknya Ira beli barang. Nak buat apa ni? Macam nak buat parti sahaja,” soal Alice.

“Haah, nak buat parti,” jawab Humaira.

Alice seperti terlopong. Humaira ketawa kecil. Dia faham bahawa Alice mungkin terkejut apabila dia menyatakan bahawa dia mahu membuat parti di rumah. Alice membatu Humaira mencari makanan ringan seperti nugget, hot dog, dan lain-lain. Selesai mencari barang-barang yang diperlukan, mereka terus bergerak ke kaunter untuk membuat pembayaran. Lapan puluh ringgit lima puluh sen kesemuanya. Alice bersuara:

“Ira, Alice hauslah, jom kita minum dekat kedai sebelah ni.”

“Heheh Alice ni, makan je tahu. Jomlah Ira pun haus ni.”

Mereka bergerak ke kedai roti di sebelah pasaraya tadi. Bakers Cottage namanya. Alice memilih kek-kek yang ada sambil Humaira di kaunter membuat pesanan untuk minuman mereka. Selesai membuat pesanan dan pembayaran, mereka pun duduk di meja dan kerusi yang disediakan. Alice tidak sabar-sabar mahu bersuara.

“Betul ke Ira nak buat parti ni? Macam tak percaya sahaja.”

“Betullah, kenapa Alice tak percaya pula?” soal Humaira pula.

“Yelah, takkan Humaira nak buat parti. Kalau Alice lainlah. Itupun Alice tak suka sangat. Yelah waktu parti nanti mesti pasang lagu kuat-kuat, lepas tu ada dancing, campur lelaki perempuan. Alice tak berapa gemarlah macam tu, takkan Ira suka pula?” soal Alice.

“Hehe, Alice, Alice. Parti yang Ira maksudkan tu reunion kita dengan kawan-kawan sekolah kita lah. Ira nak buat kat rumah. Mana ada muzik-muzik semua tu. Kita makan-makan sahaja. Lagipun kita ajak kawan-kawan perempuan kita sahaja.”

“Ooo,” jawab Alice lega.

“Kenapa, Alice nak Zaid ada sekali ke? Hehehe,” usik Humaira.

“Isy Ira ni. Mengarut lah.”

Mereka terus berbual sambil menikmati kek dan minuman yang mereka pesan tadi. Tiba-tiba kelibat seorang pemuda muncul. Dia masuk ke kedai tersebut. Mahu beli kek agaknya. Setelah memesan minuman dan kek yang dikehendaki, dia terus duduk di salah satu meja yang terletak berhampiran dengan meja yang diduduki oleh Alice dan Humaira. Dia menoleh ke arah mereka dan terlihat wajah Alice yang sedang memerhatikannya. Dia tersenyum dan terus duduk. Pemuda itu terus membuka buku yang baru dibelinya tanpa menoleh ke arah Humaira dan Alice lagi.

Alice mencuit tangan Humaira seraya bercakap sesuatu tentang pemuda tersebut.

“Ira, kenal tak budak lelaki tu. Bukan dia ke yang bagi Alice daging semalam?” soal Alice kepada Humaira.

Humaira menoleh ke arah tempat pemuda tersebut duduk. Dia cepat-cepat memalingkan pandangannya apabila pemuda itu menoleh semula ke arah mereka.

“Hmmm,” Ira berkata perlahan.

“Ira kenal ke budak lelaki tu. Sombong betul. Pandang kita pun tak mahu, sedangkan baru semalam jumpa.”

“Habis tu Alice nak dia tenung Alice lama-lama ke?” soal Humaira.

“Tak adalah, biasanya lelaki suka nak tengok lama-lama, lebih-lebih lagi kalau perempuan yang dia pernah jumpa sesekali. Semalam bukan main lagi panggil kita, suruh ambil daging, hari ni sombong pula.”

“Alice, Alice. Banyak yang Alice kena belajar tentang Islam,” jawab Humaira ringkas.

“Kenapa? Ada kaitan dengan Islam?” soal Alice.

“Iya, dalam Islam kita ada adab. Macam Alice lihat semalam, dalam bab makan pun kita ada adab. Makan dengan tangan kanan, ambil makanan yang dekat, baca doa sebelum makan, baca doa selepas makan,” jawab Humaira.

“Jadi?” soal Alice lagi.

“Mungkin budak lelaki tu nak jaga adab. Dalam Islam, ada adab-adab pergaulan lelaki perempuan. Banyak adabnya, antara adab tersebut ialah menundukkan pandangan. Ada dalam al-Quran, tapi Ira tak ingat ayat dan surah mana,” hurai Humaira. Dia berharap agar Alice dapat memahaminya.

“Ooo, jadi lelaki dan perempuan tidak bolehlah lihat antara satu sama lain. Macam tu susahlah, nak jalan kena tunduk sahaja sentiasa. Habis tu semalam boleh pula dia tengok Alice, siap berborak-borak lagi,” soal Alice lagi untuk mendapatkan penjelasan.

“Tidaklah sampai macam tu. Jika ada urusan tidak mengapa. Macam semalam dia nak beri daging kepada Alice, takkan dia nak tunduk sahaja, dan takkan dia nak senyap sahaja. Macam pergi ke kedai, takkan nak tunduk sahaja waktu bayar wang. Islam tidaklah sampai begitu,” ulas Humaira.

“Oooo macam tu. Nanti Ira kena ajar Alice lagi pasal pergaulan lelaki perempuan ni. Banyak Alice nak tahu. Boleh jadi bahan kajian assignment Alice nanti. Tapi, macam mana pula Ira tahu budak lelaki tu tak pandang kita sebab ikut adab pergaulan. Entah-entah dia malu ke, tak pun dia memang sombong ke,” Alice menambah.

“Isy Alice ni. Banyak pula soalnya. Kita sangka baik sahajalah dengan dia. Takkan nak fikir yang buruk-buruk. Tak elok tu. Yang Alice asyik tanya tentang budak lelaki tu kenapa? Dah terpikat ke? Hehehe,” Humaira bergurau.

“Isy Ira ni, dah lah. Dah lama kita kat tempat ni. Kek dalam pinggan ni pun dah habis. Jom balik, dah nak dekat pukul 12 dah ni. Mesti ibu Ira dah tunggu kat rumah tu.”

Mereka pun bangun dari tempat duduk masing-masing. Pemuda tersebut bingkas bangun apabila melihat mereka berdua mahu bergerak pulang. Ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada mereka berdua. Dia terpinga-pinga seketika, tidak tahu bagaimana mahu memanggil mereka berdua kerana dia pun memang tidak kenal dengan Humaira dan Alice. Semalam, ketika menyediakan daging korban, itulah kali pertama dia melihat mereka berdua. Dia mendapat idea.

“Amoi, amoi, tunggu kejap,” dia memanggil mereka berdua. Perkataan Amoi itu dia tujukan kepada Alice. Nasib baik tiada gadis-gadis Cina yang lain di sana. Jika tidak pasti mereka akan perasan yang pemuda itu memanggil mereka.

Alice terkejut, dia menarik tangan Humaira. Humaira berhenti bergerak. Mereka berpaling dan memandang ke arah pemuda tersebut.

“Ya, ada apa. Jerit amoi-amoi, ingat saya tak ada nama ke?” Alice berkata kepada pemuda tersebut.

“Sorry, sorry saya tak tahu nama kamu, tu yang panggil amoi sahaja tu,” jawab pemuda tersebut.

“So, ada apa panggil kami ni. Kami nak cepat balik,” jawab Alice, sambil Humaira di sebelahnya hanya mendiamkan diri sahaja.

“Sebenarnya ni, saya nak bagitahu kawan kamu ni. Malam esok ada program di masjid. Ada kuliah, ni handbill dia. Jadi jemputlah datang,” terang pemuda tersebut.

“Oooo ok, tu sahaja. Ajak kawan saya sahaja, amoi ni tak nak ajak ke?” soal Alice sambil tersengih. Dia memang begitu, suka bergurau hatta dengan orang yang baru dikenali.

“Ahhh, datanglah sekali kalau nak. Boleh dengar kuliah pasal Islam, nak tanya soalan pun boleh,” jawab pemuda tersebut.

“Okey, Insya-Allah saya datang esok. Esok kita pergi ya Ira”, kata Alice sambil mencuit tangan Humaira. Humaira hanya mengangguk sahaja. Kelihatan dia amat tidak selesa dengan keadaan sedemikian. Pemuda tersebut menyedari hal tersebut. Dia bingkas berkata:

“Okeylah, saya nak bagitahu tu sahaja, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,” pemuda tersebut menutup perbualan mereka. Dia terus bergerak ke meja makan dia sambil Humaira dan Alice bergerak keluar dari kedai kek tersebut.

“Alice, kita singgah kedai buku kejap. Ira nak tengok-tengok bukulah, mana tahu ada novel-novel yang terbaru ke,” Humaira berkata kepada Alice.

“Okey, jom,” jawab Alice ringkas.

Tiba di kedai buku, Humaira membelek-belek rak novel yang ada. Tiada novel-novel yang bagus, kesemuanya asyik bercerita tentang cinta. Membaca sinopsis di halaman belakang sudah cukup untuk dia memahami isi kandungan novel tersebut. Kadang kala rasa meluat dengan novel-novel yang seolah-olah menggalakkan golongan remaja untuk bercinta.

“Hmm, tak ada novel yang bestlah. Jom balik. Bosanlah novel-novel ni, asyik-asyik cinta, lepas tu putus. Suka sangat galakkan budak-budak ni bercinta, keluar dating sana sini,” kata Humaira kepada Alice.

“Hmm biasalah Alice. Menulis sebab nak duit. Mereka tengok novel-novel macam tu laku, remaja suka. Mereka tulislah. Apa mereka kisah kesan kat budak-budak ni,” jawab Alice.


from heart to heart

No comments:

Post a Comment